Bismuth Labuni,
seorang jejaka persis Tomok. Kacak, bergaya, cool dan 90s kids rambut belah
tengah. Bismuth Labuni juga amat meminati lagu genre Kugiran Masdo dan sering dilihat
berbaju bunga-bunga menyelusuri lorong-lorong di Pasar Seni. Pemakaian Bismuth Labuni
sering dipertikai rakan-rakan kerana terlalu kerap mengenakan fedora berwarna
krim dan kacamata hitam walaupun ketika melakukan kegiatan dalam bangunan (indoor).
“Bismuth Labuni,
Apa yang kau kejar dalam hidup ini?” tegur Terry, rakan serumah Bismuth Labuni.
Hujan renyai
lembut menghempas bumbung rumah Bismuth Labuni. Rumah semi-d tiga tingkat persis
rumah anak dato’ yang dibelikan oleh bapanya 3 tahun lalu dikongsi bersama
beberapa rakannya yang lain yang mana tidak akan muncul di dalam cerpen ini.
Ketenangan hujan renyai petang yang dinikmati Bismuth Labuni sambil menyangkung
di jendela tingkat tiga retak dilontar sapaan rakannya.
“Hidup kau bilang,
Terry? Apa makna hidup kalau aku tak punya tandatangan Kugiran Masdo, Terry.” Balas
Bismuth Labuni.
“Astaghfirullah.
Bismuth Labuni, kau tak cuba untuk mengejar redha Allah?!” bentak Terry.
“Apa ni Terry.
Kau cuba nak main-main atau penulis takda idea apa yang harus kita borakkan?”
Bismuth Labuni selamba mempersoal sambil melemparkan renungan dendam terhadap
penulis.
“Probably the
latter, Bismuth Labuni. Sebelum ni kita rilek ja borak yedak?”
“Ya lah tu,
Terry” Jawab Bismuth Labuni ringkas, mahu menamatkan perbualan yang tiada hujung tiada pangkal sebentar tadi.
Bismuth Labuni
mengeluh panjang. Bismuth Labuni mendongak memandang langit yang kian gelap.
Terdapat sesuatu yang mengganggu Bismuth Labuni dengan ketibaan malam. Lebih
tepat, ketibaan bulan purnama. Ia bermula sejak setahun lalu. Bismuth Labuni
pernah mengesyaki dia adalah serigala jadian tetapi nyata itu semua hanya
sekadar perasaanya saja. Bismuth Labuni berpaling dari matahari yang kian
membenam dan masuk ke kamar. Bismuth Labuni penat dan merasa aneh tetapi
diendahkan untuk menenangkan hatinya.
Setiba di kamar,
azan maghrib berkumandang. Bismuth Labuni mengenakan baju melayu dan kain
pelekat, lengkap dengan fedora krim miliknya yang kian lusuh. Bagaimana Bismuth
Labuni sujud adalah di luar pengetahuan penulis. Bismuth Labuni terus membentang sejadah dan mengangkat
takbir. Bismuth Labuni tahu ini masanya syaitan mula berbisik memberi tahu
rahsia-rahsia dan perkara yang dia lupa. Sebelum ini Bismuth Labuni kuat tetapi
entah kali ini dia tewas. Bismuth Labuni menghentikan solatnya dan terus ke
kamar Terry.
“Anak
haraaaaaammmm!!! Album “Selamat Tinggal Pujaan” aku dekat hang rupanya. Dasar
anjing!!” jerkah Bismuth Labuni.
Dilihat bekas
cakera padat album Kugiran Masdo di penjuru kamar Terry, kelihatan sedih dan bersendirian.
Bismuth Labuni teringat malam purnama setahun lalu Terry pernah meminta album
tersebut untuk dibuat halwa telinga. Nyata perasaan yang dirasakan sebelum ini
adalah rindu yang mendalam terhadap cakera padat tersebut.
Sejak dari itu, Terry
membenci Kugiran Masdo dan menjual baju Kugiran Masdo yang tak ori di pasar malam sebagai tanda rebel.

No comments:
Post a Comment