Saturday, August 17, 2013

Aiman

Terlelap si Aiman menunggu kepulangan bapanya. Acapkali pulang pasti dibawanya permainan untuk Aiman. Entah kenapa malam itu lewat sungguh bapanya pulang.

Rumah Aiman tidak besar. Hanya pondok buruk beratapkan kayu. Kayu bukan daun pelepah atau apa. Cuma kayu. Rumah buruk itu lah tempat dia bermain tempat dia tinggal bersama bapanya. Aiman sudah besar. Umurnya hampir mencecah 15 tahun. Sungguh begitu Aiman cukup suka bila bapanya bawa pulang permainan untuk nya.

Malam itu entah. Lain benar perasaan Aiman. Bagai akan ada bala yang akan menimpa dirinya. Tiba-tiba dia terdengar orang bersorak di luar rumahnya. Hairan juga si Aiman kerana depan rumahnya mana ada pernah kedai mamak tempat orang bersorak ketika menonton bola. Hanya hutan buruk yang bapanya pun pernah kata "Literally takda apa la Man rumah kita ni.". Yang ada cuma hutan semak samun yang menjadi tempat permainannya sejak kecil. Aiman musykil dan takut. Segera dia ke almari buruk yang hampir roboh di sudut bilik dan bersembunyi di dalamnya.

"BAAMM!!" Kuat daun pintu rumah Aiman ditendang pendatang biadap. Rumah buruk itu bergoyang seperti mengikut hati Aiman yang turut sama bergoyang dek tersentak.

"Mana kau setaaann!!!" Jerit satu suara garau yang Aiman macam pernah dengar dan agak kenal.

"Si penghulu kampung ni. Dah tua tua pun ada hati" agak Aiman.

"Kau tak boleh lari ke mana! Penjaga kau kami dah penggal kepala dia! Kami dah letak kepala dia kat tengah padang sana" Jerit lagi satu suara yang tak pernah Aiman dengar.

Berduyun-duyun bunyi kecaman dari para pendatang biadap. Aiman geram. Hatinya panas. Aiman rasa seperti mahu bertukar menjadi hero avengers yang Aiman pernah tengok di TV, The Hulk. Tapi Aiman bukan The Hulk. Aiman lebih dari itu. Bapanya pernah pesan "Kalau ada yang datang tak beri salam kau buat lauk ja Man. Bapak pun bukan selalu ada rumah nak masak. OK?" "OK abah. Tarahal"

Aiman dah tak tahan. Lapar dan dahaga pun sudah mula bergelora. Bapaknya tinggal ikan kering ja di dapur. Tu pun yang belum masak.

"Dasar bapak tak bertanggungjawab" Bisik hati kecil Aiman.

Nafsu makan menguasai jiwa. Aiman buka pintu almari perlahan-lahan. Aiman lompat. Lompatan Aiman berhenti di tengah udara. Umpama belon. Aiman terbang perlahan menuju ke pintu rumah.

Aiman ketawa. Hilaian tawa Aiman kerana lagak manusia di depannya yang cukup lucu. Ada yang membawa obor. Ada yang bawa lampu suluh. Ada yang gemuk. Ada yang pendek. Ada yang macam papan yang memang tak selera Aiman tengok.

Makin ditenung makin Aiman geli hati. Aiman mengilai lagi.

Pendatang biadap tunjuk berani. Dihala satu tangkal ke hadapan
"Mati lah kau anak setaaaannn!!!"

Hilaian Aiman terhenti. Peluh pendatang itu menitis. Matanya bertembung dengan mata Aiman yang merah menyala dari tadi.

"Haih bodoh betul" Bisik Aiman.

Sudah lah salam tidak diberi. Lagi syirik percaya akan tangkal. Perlahan-lahan Aiman membesarkan mulutnya. Selesai membaca doa makan, tamatlah riwayat pendatang-pendatang itu dibaham Aiman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment