Monday, July 2, 2018

Bila Malam Bila Rindu

Bismuth Labuni, seorang jejaka persis Tomok. Kacak, bergaya, cool dan 90s kids rambut belah tengah. Bismuth Labuni juga amat meminati lagu genre Kugiran Masdo dan sering dilihat berbaju bunga-bunga menyelusuri lorong-lorong di Pasar Seni. Pemakaian Bismuth Labuni sering dipertikai rakan-rakan kerana terlalu kerap mengenakan fedora berwarna krim dan kacamata hitam walaupun ketika melakukan kegiatan dalam bangunan (indoor).

“Bismuth Labuni, Apa yang kau kejar dalam hidup ini?” tegur Terry, rakan serumah Bismuth Labuni.

Hujan renyai lembut menghempas bumbung rumah Bismuth Labuni. Rumah semi-d tiga tingkat persis rumah anak dato’ yang dibelikan oleh bapanya 3 tahun lalu dikongsi bersama beberapa rakannya yang lain yang mana tidak akan muncul di dalam cerpen ini. Ketenangan hujan renyai petang yang dinikmati Bismuth Labuni sambil menyangkung di jendela tingkat tiga retak dilontar sapaan rakannya.

“Hidup kau bilang, Terry? Apa makna hidup kalau aku tak punya tandatangan Kugiran Masdo, Terry.” Balas Bismuth Labuni.

“Astaghfirullah. Bismuth Labuni, kau tak cuba untuk mengejar redha Allah?!” bentak Terry.

“Apa ni Terry. Kau cuba nak main-main atau penulis takda idea apa yang harus kita borakkan?” Bismuth Labuni selamba mempersoal sambil melemparkan renungan dendam terhadap penulis.

“Probably the latter, Bismuth Labuni. Sebelum ni kita rilek ja borak yedak?”

“Ya lah tu, Terry” Jawab Bismuth Labuni ringkas, mahu menamatkan perbualan yang tiada hujung tiada pangkal sebentar tadi.

Bismuth Labuni mengeluh panjang. Bismuth Labuni mendongak memandang langit yang kian gelap. Terdapat sesuatu yang mengganggu Bismuth Labuni dengan ketibaan malam. Lebih tepat, ketibaan bulan purnama. Ia bermula sejak setahun lalu. Bismuth Labuni pernah mengesyaki dia adalah serigala jadian tetapi nyata itu semua hanya sekadar perasaanya saja. Bismuth Labuni berpaling dari matahari yang kian membenam dan masuk ke kamar. Bismuth Labuni penat dan merasa aneh tetapi diendahkan untuk menenangkan hatinya.

Setiba di kamar, azan maghrib berkumandang. Bismuth Labuni mengenakan baju melayu dan kain pelekat, lengkap dengan fedora krim miliknya yang kian lusuh. Bagaimana Bismuth Labuni sujud adalah di luar pengetahuan penulis.  Bismuth Labuni terus membentang sejadah dan mengangkat takbir. Bismuth Labuni tahu ini masanya syaitan mula berbisik memberi tahu rahsia-rahsia dan perkara yang dia lupa. Sebelum ini Bismuth Labuni kuat tetapi entah kali ini dia tewas. Bismuth Labuni menghentikan solatnya dan terus ke kamar Terry.

“Anak haraaaaaammmm!!! Album “Selamat Tinggal Pujaan” aku dekat hang rupanya. Dasar anjing!!” jerkah Bismuth Labuni.

Dilihat bekas cakera padat album Kugiran Masdo di penjuru kamar Terry, kelihatan sedih dan bersendirian. Bismuth Labuni teringat malam purnama setahun lalu Terry pernah meminta album tersebut untuk dibuat halwa telinga. Nyata perasaan yang dirasakan sebelum ini adalah rindu yang mendalam terhadap cakera padat tersebut.


Sejak dari itu, Terry membenci Kugiran Masdo dan menjual baju Kugiran Masdo yang tak ori di pasar malam sebagai tanda rebel.